Friday 19 September 2014

KESAN PERKEMBANGAN EKONOMI ZAMAN PENJAJAHAN TERHADAP POLITIK DI TANAH MELAYU

PENGENALAN
            Tanah Melayu pernah mengeksport bijih timah ke India, Arab dan China. Perusahaan bijih timah merupakan perusahaan yang tertua dan bahan eksport utama di Tanah Melayu. Sebelum tahun 1820, perlombongan bijih timah diusahakan oleh orang Melayu secara tradisional dengan menggunakan kaedah mendulang dan melampan. Seiring dengan peredaran zaman dan perubahan teknologi, aktiviti perlombongan bijih timah telah berkembang dengan pesat Hasilnya, pengeluaran bahan galian ini terus meningkat dari tahun ke tahun. Ini Menggalakkan Tanah Melayu mengeksport bijih timah ke India, Arab dan China. Perusahaan bijih timah dijalankan oleh orang-orang Melayu berabad-abad lamanya sebelum abad ke-19 dan dipercayai sejak abad ke-9, perusahaan ini dijalankan secara kecil-kecilan sebagai pekerjaan sambilan dengan menggunakan teknologi kuno terutamanya mendulang.

            Penanaman getah pula telah diperkenalkan oleh British dengan membawa masuk benih dari Brazil. Tokoh penting yang membawa benih getah dari Brazil ialah Sir Hanry Wickham. Beliau telah membawa 70,000 biji getah untuk ditanam di Kew Gardens di London untuk tujuan percambahan. Daripada jumlah itu hanya 4% sahaja yang tumbuh. Pada tahun 1877 sebanyak 22 batang anak getah dibawa ke Singapura dan ditanam di Botanical Garden. Dari Singapura beberapa batang anak getah dibawa ke Kuala Kangsar dan ditanam di halaman kediaman Residen Perak. Pada peringkat awal getah tidak popular di Tanah Melayu kerana para peladang kurang kemahiran berkaitan tanaman getah. Namun, tanaman getah mula mendapat perhatian dan ditanam secara besar-besaran pada awal abad ke-20. Kedua-dua kegiatan ini mencapai perkembangan pesat semasa era pemerintahan British di Tanah Melayu. Tanah Melayu menjadi pengeluar utama dunia bagi bijih timah dan getah. Terdapat beberapa kesan daripada penanaman getah dan perlombongan bijih timah dari segi politik, ekonomi dan sosial di Tanah Melayu sehingga 1970. Kegunaan getah amat luas sehingga menjadi aspek yang penting dalam kehidupan.




KESAN TERHADAP POLITIK

Perlantikan Residen
            Penanaman getah dan perlombongan bijih timah secara tidak langsung telah memberi kesan kepada sistem politik di Tanah Melayu. Hal ini kerana, pihak Inggeris bukan sahaja melakukan perubahan dalam aspek ekonomi malah turut melibatkan sistem pemerintahan dan pentadbiran di Tanah Melayu. Melalui pelaksanaan Sistem Residen, pihak Inggeris bertindak melantik seorang wakilnya sebagai Residen untuk mentadbir setiap negeri dan berperanan menasihati Raja- Raja Melayu dalam semua hal ehwal pentadbiran negeri kecuali hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Dua kesan yang paling ketara dalam aspek politik adalah lahir penentangan oleh golongan pembesar dan kejatuhan pengaruh sultan dan pembesar.

Penentangan Golongan Pembesar dan penduduk tempatan
Golongan pembesar merupakan golongan yang mempunyai tanggungjawab penting dalam bidang pentadbiran dan ekonomi di Tanah Melayu. Mereka mempunyai kuasa dalam hal-hal yang melibatkan pentadbiran negeri dan memungut cukai. Akibat daripada perubahan dan pembaharuan yang dilakukan oleh Biritish, semua hal ehwal pentadbiran telah dicampur tangan. Terdapat dua sebab utama wujud kesedaran dalam kalangan pembesar dan penduduk tempatan untuk menentang British. 
Sebab yang pertama adalah kerana penggugatan kuasa politik golongan pembesar. Campur tangan kuasa barat ini dalam hal-ehwal di negeri-negeri melayu, Sabah dan Sarawak telah mencetuskan tindak balas daripada masyarakat tempatan. Pembaharuan yang diperkenalkan oleh pihak British di Tanah Melayu, pentadbiran Brooke di Sarawak dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara di Sabah telah memberi kesan terhadap sistem sosial, ekonomi dan politik tempatan. Dasar campur tangan British bermula di Perak melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 1874. Seorang Residen dilantik sebagai penasihat raja-raja Melayu bagi mengurangkan kuasa raja-raja Melayu. Gerakan penentangan ini boleh dibahagi kepada dua iaitu penentangan golongan pembesar dan penentangan golongan rakyat.

Penentangan golongan pembesar berlaku di Naning, Sarawak, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Pahang, sementara penentangan golongan rakyat pula berlaku di Kelantan dan Terengganu. Tindakan British mengambil alih tugas pungutan cukai dan menghapuskan sistem hamba abdi yang menjadi amalan pembesar-pembesar Melayu menyebabkan timbulnya penentangan daripada pembesar Melayu seperti Datuk Maharaja Lela di Perak membawa kepada pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak, Datuk Kelana di Sungai Ujong, Negeri Sembilan dan Datuk Bahaman di Pahang. Sistem pentadbiran British juga ditentang oleh pembesar-pembesar tempatan termasuk Tok Janggut, Engku Besar Jeram, Penghulu Adam, Haji Said dan Che Sahak di Kelantan dan Abdul Rahman di Terengganu. 
Selain itu, sebelum kedatangan kuasa British, sistem ekonomi di Tanah Melayu adalah berasaskan sistem kerah dan serah. Sistem kerah dan serah ini adalah merujuk kepada rakyat jelata bekerja untuk raja atau kerajaan. Pembesar menggunakan sistem kerah untuk mendapatkan hasil. Hasil pendapatannya lebih lumayan dan ini kadang-kala menyebabkan mereka lebih kaya daripada Sultan. Penempatan British di Tanah Melayu telah menghapuskan system kerah. 
Manakala sebab kedua golongan pembesar menentang penjajahan British adalah kerana mereka kehilangan kuasa memungut cukai.  Pembesar di Tanah Melayu telah kehilangan kuasa mereka dalam aspek ekonomi. Hal ini secara langsung menyebabkan pembesar tidak lagi mempunyai hak untuk memungut hasil dan cukai daripada rakyat kerana tugas ini telah dirampas oleh British. Senario ini jelas dibuktikan, seperti yang berlaku di Negeri perak, semasa pentadbiran Birch mahu kuasa mengutip cukai yang selama ini dikendalikan oleh pembesar dihapuskan.  
Birch melakukan demikian adalah untuk memperbaiki keadaan kewangan, menjelaskan hutang negeri dan membayar gaji pegawai- pegawai serta Residen. Namun, sebenarnya tindakan Birch itu adalah kerana ingin mengambil alih hak atau kuasa memungut cukai pembesar- pembesar Melayu. Birch juga turut memperkenalkan beberepa jenis cukai baru. Ini termasuklah cukai ke atas padi, senjata, perahu, bayaran permit untuk membalak dan atap, menubuhkan satu pajak candu, dan lain-lain.Akhirnya J.W.W.Birch dibunuh dalam penentangan yang diketuai  oleh Dato Maharajalela.


Kejatuhan Pengaruh Sultan dan Golongan Pembesar
Setelah sistem ekonomi kapitalis diperkenalkan, segala hal- hal yang berkaitan dengan pentadbiran seperti hal ehwal pentadbiran negeri, hal ehwal pertahanan dan hubungan luar negeri terletak di bawah pengaruh Inggeris. Kejatuhan pengaruh sultan dan golongan pembesar telah berlaku. Selain itu, segala urusan pungutan cukai dan kawalan hasil negeri dilakukan mengikut nasihat Residen Inggeris. Hal ini menyebabkan pembesar- pembesar Melayu telah kehilangan kewibawaan sebagai pembesar Melayu, kehilangan punca pendapatan, menjatuhkan maruah mereka serta pengaruh mereka. 
Pengenalan pelbagai dasar pentadbiran kolonial British telah mencabar dan menggugat kekuasaan tradisional yang selama ini dipegang oleh sultan dan pembesar. Misalnya di Pahang, kehadiran seorang Residen British iaitu J. P Rodger telah mengambil alih segala tugas pembesar. Dato’ Bahaman menentang tindakan British melantik E.A.Wise sebagai Pegawai Majistret dan Pemungut Hasil di daerah Temerloh kerana hal ini telah menyebabkan Dato’ Bahaman dilarang mengutip cukai di daerah kekuasaannya.

No comments:

Post a Comment